Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.
Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.
Ketika membaca penghakimannya, Nor Bee berkata, mahkamah membenarkan deklarasi dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3,8,11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, suatu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan antara warganegara antara lain atas alasan keagamaan dalam pentadbiran undan-undang.
“Selain itu, deklarasi bahawa arahan kerajaan pada 5 Disember 1986 adalah salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu hendak disertakan dengan penafian (disclaimer).
“Kena ada cop (penafian) dan lambang salib,” katanya.
Dalam prosiding ini, Jill selaku pemohon diwakili peguam Lim Heng Seng, Annou Xavier dan Tan Hooi Ping, manakala Shamsul mewakili Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden.
Pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah' telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di lapangan terbang di Sepang.
Susulan itu, Jill memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula CD itu dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan CD itu dipulangkan, namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!